Wednesday 6 November 2013

Karipap

Karipap merupakan sejenis makanan kegemaran kami sekeluarga. Sejak minggu lepas lagi saya sudah merancang hendak membuat karipap untuk sajian sarapan pagi sekeluarga.  Biasanya saya menjadikannya sejuk beku dan boleh digoreng pada bila-bila masa sahaja.  Tahu sajalah proses membuat karipap agak rumit dan memerlukan masa untuk menyiapkannya seperti proses memasak inti, penyediaan pastri sehinggalah proses mengisi inti ke dalam pastri serta kelim.

Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar.  Pengalaman membuat karipap ini saya perolehi dari emak.  Biasanya emak akan membuat samada inti kentang daging atau inti ikan.  Biasanya inti ikan di kenali dengan nama "temosa" yang begitu popular dikalangan masyarakat di Pantai Timur.  Rasanya lebih lemak dan tidak pedas.


KARIPAP DAGING

Bahan2 inti
  • 300gm daging - saya guna daging kisar
  • 8 biji kentang saiz besar - potong dadu
  • 1 biji ubi keledek saiz sebesar kentang - potong dadu
  • 4 sudu besar udang kering *
  • 1 bawang besar*
  • 2 bawang putih*
  • 6 cili kering* -rendam dgn air ( bahan* kisar halus)
  • 7 tangkai daun kari
  • 2 sudu kecil garam
  • 3 sudu besar gula
  • 5 sudu besar rempah kari daging -dibacuh dengan air
  • 1/2 cawan santan pekat
  • air secukupnya

Cara penyediaan inti:
  1. Panaskan minyak di dalam kuali.  Kemudian masukkan bahan-bahan dan masak sehingga naik bau dan kering airnya.
  2. Kemudian masukkan rempah kari daging dan kacau rata.  Masak sehingga terbit minyaknya.
  3. Masukkan daun kari serta daging cincang dan kacau rata.
  4. Akhir sekali masukkan kentang dan keledek yang telah dipotong dadu.  Tambahkan air sampai tenggelamkan kentang dan keledek untuk melembutkannya tapi jangan terlalu banyak nanti kentang dan keledek menjadi hancur. 
  5. Kemudian masukkan santan pekat dan masak lagi sehingga kering.
  6. Bila sudah kering, perasakan dengan garam dan kacau sebati sehingga betul-betul kering.
  7. Tutup api dan sejukkan.  
Bahan-bahan doh
  • 750 gm tepung gandum
  • 300 gm planta / minyak sapi
  • 1/3 cawan minyak sayur/ masak
  • 2 sudu kecil garam
  • 1 cawan air dari peti ais (letak sedikit demi sedikit masa menguli doh)

Cara penyediaan doh:
  1. Panaskan minyak dan planta / minyak sapi di dalam periuk kecil.  Masak sehingga mendidih dengan menggunakan api yang kecil.  Api jangan terlalu besar, dikhuatiri minyak akan hangus.
  2. Sementara itu masukkan tepung gandum dan garam ke dalam bekas yang besar.  Kacau rata.
  3. Masukkan minyak panas tadi ke dalam campuran tepung dan garam.  Gaulkan dengan menggunakan sudu atau senduk sebab bancuhan tadi panas.  
  4. Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit dan mula menguli.  Uli sampai doh tidak berderai atau tidak pula melekat pada bekas atau tangan.  
  5. Kemudian bolehlah memulakan proses menggelek doh dan mengisi inti sehingga selesai.
  6. Goreng menggunakan api yang sederhana dan masak sehingga kekuningan.
  7. Apabila kekuningan, angkat dan toskan.

1 comment:

  1. Alhamdulillah... karipap version mak ada pwarisnya. Lagi best, kalau buat dan pos ke kuantan ni.....

    ReplyDelete