Friday 8 November 2013

Donut


DONUT sentiasa menjadi pilihan kami sekeluarga.  Biasanya saya akan salutlam dengan gula sahaja dan kadang-kadang dengan coklat cair serta taburan gula warna-warni atau kekacang yang menjadi kesukaan anak-anak.

Seperti biasa saya akan membuatnya dalam jumlah yang banyak kerena saya akan jadikannya sejuk beku dan boleh digoreng pada bila-bila masa sahaja, terutamanya dijadikan sarapan pagi untuk keluarga.

Subhanallah, Alhamdulillah Allahu Akbar.  Sekarang di internet berbagai cara atau resepi boleh di dapati.  Namun resepi ini melekat di hati kerana donut jenis ini tidak memerlukan pelembut atau apa-apa bahan kimia untuk menjadikannya lembut.  Saya rasakan donut yang disediakan ini lebih selamat kerana ianya tanpa bahan pengawet, tanpa perasa tiruan, tanpa bahan kimia dan lebih jimat.  Hanya memerlukan teknik untuk menghasilkan donut yang gebu dan lazat.

Saya juga mengambil tempahan sekiranya ada permintaan.  Kepada yang berminat boleh hubungi saya di talian 012-77437431.





DONUT GEBU TRADISIONAL 
sumber : Pn Norashikin Basri, JB





1kg Tepung gandum
1 pkt Yis segera mauripan (11g)
2 cmb Susu pekat manis
1/2 cmt Garam
1/2 cwn Minyak masak
550g Air bertapis
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam

Cara membuat Donut Gebu Tradisional
  1. Larutkan garam, susu kedalam air. Gunakan air pada suhu bilik sahaja.
  2. Gaulkan yis dan tepung gandum sehingga rata.
  3. Masukkan minyak masak dan gaul ramas sehingga sebati. Kalau boleh sehingga tiada lagi butiran-butiran kasar. Lagi halus adunan, lagi menariklah donut yang terhasil.
  4. Masukkan cecair sekaligus dan gaul dahulu menggunakan kelima-lima hujung jari sehingga tiada lagi air bertakung.
  5. Kemudian barulah diuli sehingga menjadi doh yang sangat lembab dan melekit. Adunan akan melekat di tangan. Jangan risau, kaut adunan yang melekat ditangan menggunakan sudu.
  6. Rehatkan adunan tanpa ditutup selama 15-20 minit. Tak perlu cuci tangan dulu.
  7. Setelah direhatkan, uli semula 2 - 3 minit sehingga tiada lagi adunan yang melekat di tangan dan mangkuk adunan.
  8. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dengan berat 50g setiap satu. Boleh menghasilkan kira-kira 34 biji donut.
  9. Bulatkan setiap adunan tadi menjadi bebola yang licin.
  10. Leperkan sedikit bebola tadi lebih kurang setebal 1 - 1.5 cm dan tebuk lubang ditengahnya mengunakan penutup botol atau alat yang sesuai. Trim sedikit bentuknya supaya bentuknya bulat dan tidak bersegi.
  11. Biarkan donut mengembang di tempat yang tertutup supaya adunan tidak kering lebih kurang 1/2 - 1 jam. Tidak perlu terlalu lama kerana ia akan mengembang lagi apabila digoreng.
  12. Goreng didalam minyak yang banyak dengan api sederhana sehingga kuning keemasan
  13. Tuskan sebelum digaulkan dalam gula castor atau dihias sesuka hati anda sebelum dihidang

Tip Masakan Komersial
  1. Penggunaan air bergantung kepada jenis tepung. Saya biasanya menggunakan tepung yang paling murah seperti blue key, lily atau cempaka.
  2. Lebih baik menguli menggunakan tangan berbanding mesin kerana, mesin menjadikan adunan lebih padat dan berat malah donut akan menjadi liat kerana kita menggunakan tepung pelbagai guna sahaja.
  3. Tak perlu melarutkan yis dalam air suam terlebih dahulu. Apabila yis segera digunakan, proses membiakkan yis hanya membuang masa sahaja.
  4. Proses mengembangkan donut lebih cepat untuk cuaca di negara kita. Kalau di rumah saya, setengan jam sudah mencukupi. Jika donut terlebih kembang, rongga udara didalam donut terlalu besar. Kita juga sukar memegang donut untuk digoreng kerana teksturnya tidak kukuh. Bentuknya juga tidak cantik. Jika kurang kembang pula, donut menjadi berat dan mampat.
  5. Kita boleh menyimpan donut dalam peti sejuk beku dalam jangkamasa yang lama. Hanya perlu menngoreng donut ini sebentar sahaja untuk mematikan yis dan menetapkan bentuknya. Simpan dalam bekas kedap udara atau plastik dengan seal. Selepas dibekukan, perlu defrost dahulu sebelum digoreng.
  6. Untuk simpanan dalam jangka pendek, hanya perlu disimpan dalam bekas bertutup. Donut akan kekal gebu untuk 24 jam. 

No comments:

Post a Comment