Wednesday 27 November 2013

Bina Peribadi Waktu Makan

Pakar motivasi bebas Ustaz Sobri Abd. Rani menyarankan agar ibu bapa menjadikan waktu makan sekeluarga sebagai waktu untuk membetulkan kehidupan atau membina peribadi anak-anak.  Waktu makan adalah program bersahaja yang sangat besar impaknya dalam hidup.  Antara didikan yang boleh diterapkan kepada anak-anak pada waktu makan adalah :
 
1.            Tunggu orang yang paling tua.
         “Kalau ada ayah, suapan pertama hendaklah dimulakan oleh ayah.  Kalau tidak ada ayah, maka emak.  Rahsia di sebaliknya, bila dikekalkan begitu selama tiga bulan, akan tumbuh di hati anak rasa hormat kepada yang lebih tua walaupun di luar pandangan kita.  Jadi kalau kita hendak tahu macam mana anak kita di luar pandangan kita, tengok waktu mereka makan.”
 
2.            Baca Basmalah dan guna tangan kanan.
         “Anak kita tidak akan sanggup untuk memasukkan makanan ke mulut atau memegang sesuatu yang bukan haknya.  Yang biasa dia ambil masuk ke mulut dengan nama Allah S.W.T dan biasa memegang yang halal dengan tangan kanan.  Melalui amalan yang mudah ini, roh kita dimonitor oleh syariat.  Amalan ini tidak perlu pada tenaga dan wang ringgit yang banyak tetapi perlu pada kesabaran dan istiqamah.”
 
3.            Ambil lauk terdekat dahulu
         “Bagi cubitan lauk yang pertama, ambil yang paling dekat.  Kenapa?  Melatih sabar.  Kali kedua jika hendak ambil yang jauh tidak mengapa, itu dikira usaha ikhtiar untuk mendapatkan yang lebih baik.  Ia mempengaruhi corak kehidupan dan corak kita bekerja.”

         “Kalau ayah atau ibu hendak membina sifat penyayang, ambil lauk yang pertama letak di pinggan anak.  Memang anak akan merasa lain.  Kalau dia tidak mahu lauh itu tidak mengapa tetapi kita memberi itu yang mustahak.  Kalau kita membuat sebegitu, dia juga akan menjadikan sebegitu kepada orang lain juga.  Kita sudah membina masyarakat penyayang di dalam rumah kita.  Malah untuk melatih anak cinta pada saudaranya yang lain, itulah waktunya.”

4.            Kawal Suapan
         “Bila ambil makanan untuk suap ke mulut, jangan diangkat suapan seterusnya selagi di dalam mulut itu belum di telan.  Sesudah ditelan, baru angkat suapan yang seterusnya masuk ke mulut.  Untuk apa?  Ianya untuk melatih anak supaya jangan tamak dan bersifat qanaah.  Mencukupi apa yang ada.  Atau lebih tepat lagi, untuk melatih anak bersyukur terhadap apa yang Allah S.W.T kurniakan”

         Ustaz Sobri berkata, “Perkara ini kalau dilatih betul-betul, ianya akan menumbuhkan sifat-sifat mulia di dalam diri anak-anak.  Sebab itulah makan adalah perkara yang kita benar-benar buat dengan hati, sebab ianya mempengaruhi roh.”

No comments:

Post a Comment