Friday 8 November 2013

Gulai Lemak Pisang Muda


Memang rezeki yang Allah S.W.T berikan kepada kita sentiasa ada dimana-mana dan berbagai-bagai.  Sungguh, setiap kejadian yang Allah S.W.T jadikan itu bukanlah sesuatu yang kebetulan kerana segala-galanya dalam pengetahuan-Nya.  Apakah saya tidak mahu lagi bersyukur kepada-Nya. 

Khamis malam Jumaat, seperti kebiasaannya saya akan mengikuti kumpulan yasin di kejiranan tempat tinggal saya.  Alhamdulillah, di sinilah tempatnya saya akan berjumpa dengan jiran-jiran dan seperti biasa kami akan bertukar-tukar cerita. 

Subhanallah, Tabarakallah.  satu lagi cerita resepi telah dikongsikan oleh ahli kumpulan yasin iaitu "Gulai Lemak Pisang Muda".  Beliau bercerita semasa di kampung, beliau selalu makan dan rindu akan masakan tersebut kerana tidak pernah masak untuk keluarganya.  Apabila beliau hendak memasaknya, beliau telah ditertawakan oleh anak-anaknya dan beliau membalasnya dengan menyuruh anaknya menggoreng telur sendiri seandainya tidak mahu lauk tersebut. Setelah dimasak, anak-anak beliau cuba untuk merasa sedikit tetapi setelah merasanya, anak-anak beliau terpaksa akur akan keenakan "Gulai Lemak Pisang Muda".

Subhanallah.  Bak kata perpatah melayu "tak kenal maka tak cinta".

"Rasulullah S.A.W tidak pernah mencaci makanan.  Jika Baginda menyukainya, baginda memakannya dan jika tidak menyukainya, Baginda meninggalkannya".


GULAI LEMAK PISANG MUDA (versi ibu mertua)
Bahan-bahan:
1 sisir pisang muda (biasanya pisang lilin atau pisang lemak manis)
1 biji kelapa diambil santan secukupnya (lebihkan santan kerana pisang akan serap santan) - santan cair dan santan pekat
1 helai daun kunyit - disiat-siat atau disimpul
Minyak untuk menumis

Bahan yang ditumbuk halus
3-4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
15 biji cili padi
1 inci kunyit hidup atau 1 cmt serbuk kunyit
1 cmt biji ketumbar
sedikit cekur
Segengam ikan bilis - direndam

Cara Menyediakannya: 

  1. Pisang dipotong hujung dan pangkal. Cara memotong terpulang pada anda.  Ada yang suka potong serong berserta dengan kulit dan ada pula yang siat-siat kulitnya dan barulah dipotong serong.  Kulit yang telah disiat tadi jangan dibuang, terus campurkan dengan pisang yang telah dipotong tadi sebab ianya boleh dimakan.
  2. Panaskan minyak di dalam periuk, tumis bahan yang ditumbuk halus hingga naik bau.
  3. Setelah naik baunya, masukkan santan cair dan kacau sebati.  Kemudian masukkan pisang yang telah dipotong tadi ke dalam periuk. 
  4. Setelah kuah memdidih dan pisang empuk, masukkan santan pekat.  Sentiasa dikacau agar santan tidak meruap dan biarkan seketika. 
  5. Perasakan dengan garam dan tutup api.
  6. Enak dimakan bersama nasi putih, ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman.

No comments:

Post a Comment