Friday, 8 November 2013

English Cotton

ENGLISH COTTON GRED AAA
Selesa dan mudah digayakan dengan apa-apa fesyen sekalipun.

Kainnya tidak jarang, tidak mudah renyuk atau berbulu selepas dibasuh
malah mudah digosok.

Boleh dijadikan hadiah buat orang yang tersayang

Kepada yang berminat
sms atau whatsapp - 012-7743731 untuk harga yang menarik




















Sold Out


Sold Out

Sold Out


Sold Out




 
 


 



Gulai Lemak Pisang Muda


Memang rezeki yang Allah S.W.T berikan kepada kita sentiasa ada dimana-mana dan berbagai-bagai.  Sungguh, setiap kejadian yang Allah S.W.T jadikan itu bukanlah sesuatu yang kebetulan kerana segala-galanya dalam pengetahuan-Nya.  Apakah saya tidak mahu lagi bersyukur kepada-Nya. 

Khamis malam Jumaat, seperti kebiasaannya saya akan mengikuti kumpulan yasin di kejiranan tempat tinggal saya.  Alhamdulillah, di sinilah tempatnya saya akan berjumpa dengan jiran-jiran dan seperti biasa kami akan bertukar-tukar cerita. 

Subhanallah, Tabarakallah.  satu lagi cerita resepi telah dikongsikan oleh ahli kumpulan yasin iaitu "Gulai Lemak Pisang Muda".  Beliau bercerita semasa di kampung, beliau selalu makan dan rindu akan masakan tersebut kerana tidak pernah masak untuk keluarganya.  Apabila beliau hendak memasaknya, beliau telah ditertawakan oleh anak-anaknya dan beliau membalasnya dengan menyuruh anaknya menggoreng telur sendiri seandainya tidak mahu lauk tersebut. Setelah dimasak, anak-anak beliau cuba untuk merasa sedikit tetapi setelah merasanya, anak-anak beliau terpaksa akur akan keenakan "Gulai Lemak Pisang Muda".

Subhanallah.  Bak kata perpatah melayu "tak kenal maka tak cinta".

"Rasulullah S.A.W tidak pernah mencaci makanan.  Jika Baginda menyukainya, baginda memakannya dan jika tidak menyukainya, Baginda meninggalkannya".


GULAI LEMAK PISANG MUDA (versi ibu mertua)
Bahan-bahan:
1 sisir pisang muda (biasanya pisang lilin atau pisang lemak manis)
1 biji kelapa diambil santan secukupnya (lebihkan santan kerana pisang akan serap santan) - santan cair dan santan pekat
1 helai daun kunyit - disiat-siat atau disimpul
Minyak untuk menumis

Bahan yang ditumbuk halus
3-4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
15 biji cili padi
1 inci kunyit hidup atau 1 cmt serbuk kunyit
1 cmt biji ketumbar
sedikit cekur
Segengam ikan bilis - direndam

Cara Menyediakannya: 

  1. Pisang dipotong hujung dan pangkal. Cara memotong terpulang pada anda.  Ada yang suka potong serong berserta dengan kulit dan ada pula yang siat-siat kulitnya dan barulah dipotong serong.  Kulit yang telah disiat tadi jangan dibuang, terus campurkan dengan pisang yang telah dipotong tadi sebab ianya boleh dimakan.
  2. Panaskan minyak di dalam periuk, tumis bahan yang ditumbuk halus hingga naik bau.
  3. Setelah naik baunya, masukkan santan cair dan kacau sebati.  Kemudian masukkan pisang yang telah dipotong tadi ke dalam periuk. 
  4. Setelah kuah memdidih dan pisang empuk, masukkan santan pekat.  Sentiasa dikacau agar santan tidak meruap dan biarkan seketika. 
  5. Perasakan dengan garam dan tutup api.
  6. Enak dimakan bersama nasi putih, ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman.

Thursday, 7 November 2013

Apam Mekar

Dengan Nama Allah Yang Amat Pemurah Lagi Amat Pengasihani.

Alhamdulillah kali ini saya akan tunjukkan bagaimana untuk membuat apam mekar yang cantik lagi menawan .

Allah, Allah Ya Allah riak pula saya.  Lupa saya, bahawa ilmu ini hanyalah dipinjamkan oleh Allah S.W.T sementara sahaja dan saya insan yang begitu kerdil ini hanyalah sebagai perantaan sahaja.

Resepi ini saya perolehi di  kelas masakan anjuran Nabila Bread House.  Terima kasih tidak terhingga buat Puan Saleha.

Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar.  Memang lucu bila terkenangkan kisah apam mekar ini.  Apa tidaknya, di kelas masakan tersebut sebanyak 4 kali cubaan telah saya lakukan tetapi hasilnya menghampakan.  Allah, Allah Ya Allah saya akur kerana saya tahu ini adalah ujian dari Allah S.W.T.
Hanya kepada-Nya kita mohon pertolongan dan bimbingan.

Berada di rumah saya masih tidak berpuas hati.  Ya Allah Ya Rahman Ya Karim ini adalah dugaan dari-Mu Ya Allah.  Saya tidak harus berputus asa dan harus berusaha untuk terus mencapai sesuatu yang saya impikan.  Allahdulillah setelah 4 kali cubaan akhirnya saya berjaya juga menghasilkan apam mekar yang mekar berkembang.

Anak-anak sangat menyukainya.  Saya selalu membuatnya untuk majlis kenduri dan kadang-kadang mengambil tempahan dari kawan-kawan.  Sungguh setiap kejadian Allah S.W.T itu kerana segala-galanya dalam pengetahuan-Nya belaka.


APAM MEKAR

Bahan-bahan ( 30 biji - cawan kertas saiz sederhana )

100gm gula kastor
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla - untuk menghilangkan hanyir telur
2 sudu teh ovelate
250gm tepung gandum
1 cawan aiskrim soda
Pewarna yang disukai
Cara membuatnya:
  1. Pukul gula dan telur sehingga betul-betul kembang (warnanya agak keputihan)
  2. Masukkan esen vanilla dan ovalete.  Kemudian, pukul lagi sehingga kembang/gebu (warnanya putih krim)
  3. Masukkan aiskrim soda dan tepung gandum berselang seli, sedikit demi sedikit.  Kemudian, pukul lagi sehingga sebati/gebu.
  4. panaskan pengukus
  5. bahagikan adunan kepada beberapa bahagian untuk diletakkan pewarna
  6. Masukkan adunan ke dalam "piping bag" dan paipkan ke dalam cawan kertas yang telah dimasukkan ke dalam acuan apam mengikut citarasa masing-masing.
  7. Akhir sekali masukkan ke dalam pengukus dan kukus menggunakan api yang paling besar selama 6 - 10 minit.
Alhamdulillah sudah siap dan sedia untuk dimakan.  
Pastikan cawan kertas diletakkan di dalam "tray cup" kerana tanpanya apam akan menjadi leper dan tidak cantik.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!  Terima kasih Allah.

Cookies

Chocolate Chip Almond & Dark Chocolate Almond

Subhanallah cookies yang sangat susuai untuk dijadikan kudapan samada sambil menyiapkan kerja di pejabat mahupun bila duduk santai seisi keluarga sambil menonton tv.

Boleh didapati dalam 2 perisa, samada Chocolate Chip Cookies atau Dark Chocolate Chip.  Yang pasti kedua-duanya sangat rangup dan kaya dengan kekacang.  Ianya juga menjadi kegemaran kanak-kanak.



Memang rugi siapa yang tidak merasainya.  Bila sudah merasainya sekali sudah pasti akan mencari lagi.  Harganya pun sangat berpatutan.  Sesiapa yang berminat, bolehlah hubungi saya di talian 012-7743731.


Wednesday, 6 November 2013

Karipap

Karipap merupakan sejenis makanan kegemaran kami sekeluarga. Sejak minggu lepas lagi saya sudah merancang hendak membuat karipap untuk sajian sarapan pagi sekeluarga.  Biasanya saya menjadikannya sejuk beku dan boleh digoreng pada bila-bila masa sahaja.  Tahu sajalah proses membuat karipap agak rumit dan memerlukan masa untuk menyiapkannya seperti proses memasak inti, penyediaan pastri sehinggalah proses mengisi inti ke dalam pastri serta kelim.

Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar.  Pengalaman membuat karipap ini saya perolehi dari emak.  Biasanya emak akan membuat samada inti kentang daging atau inti ikan.  Biasanya inti ikan di kenali dengan nama "temosa" yang begitu popular dikalangan masyarakat di Pantai Timur.  Rasanya lebih lemak dan tidak pedas.


KARIPAP DAGING

Bahan2 inti
  • 300gm daging - saya guna daging kisar
  • 8 biji kentang saiz besar - potong dadu
  • 1 biji ubi keledek saiz sebesar kentang - potong dadu
  • 4 sudu besar udang kering *
  • 1 bawang besar*
  • 2 bawang putih*
  • 6 cili kering* -rendam dgn air ( bahan* kisar halus)
  • 7 tangkai daun kari
  • 2 sudu kecil garam
  • 3 sudu besar gula
  • 5 sudu besar rempah kari daging -dibacuh dengan air
  • 1/2 cawan santan pekat
  • air secukupnya

Cara penyediaan inti:
  1. Panaskan minyak di dalam kuali.  Kemudian masukkan bahan-bahan dan masak sehingga naik bau dan kering airnya.
  2. Kemudian masukkan rempah kari daging dan kacau rata.  Masak sehingga terbit minyaknya.
  3. Masukkan daun kari serta daging cincang dan kacau rata.
  4. Akhir sekali masukkan kentang dan keledek yang telah dipotong dadu.  Tambahkan air sampai tenggelamkan kentang dan keledek untuk melembutkannya tapi jangan terlalu banyak nanti kentang dan keledek menjadi hancur. 
  5. Kemudian masukkan santan pekat dan masak lagi sehingga kering.
  6. Bila sudah kering, perasakan dengan garam dan kacau sebati sehingga betul-betul kering.
  7. Tutup api dan sejukkan.  
Bahan-bahan doh
  • 750 gm tepung gandum
  • 300 gm planta / minyak sapi
  • 1/3 cawan minyak sayur/ masak
  • 2 sudu kecil garam
  • 1 cawan air dari peti ais (letak sedikit demi sedikit masa menguli doh)

Cara penyediaan doh:
  1. Panaskan minyak dan planta / minyak sapi di dalam periuk kecil.  Masak sehingga mendidih dengan menggunakan api yang kecil.  Api jangan terlalu besar, dikhuatiri minyak akan hangus.
  2. Sementara itu masukkan tepung gandum dan garam ke dalam bekas yang besar.  Kacau rata.
  3. Masukkan minyak panas tadi ke dalam campuran tepung dan garam.  Gaulkan dengan menggunakan sudu atau senduk sebab bancuhan tadi panas.  
  4. Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit dan mula menguli.  Uli sampai doh tidak berderai atau tidak pula melekat pada bekas atau tangan.  
  5. Kemudian bolehlah memulakan proses menggelek doh dan mengisi inti sehingga selesai.
  6. Goreng menggunakan api yang sederhana dan masak sehingga kekuningan.
  7. Apabila kekuningan, angkat dan toskan.

Al-Quraan


Al-Quraan adalah kalam Allah.  Padanya terkandung suruhan, larangan, iktibar dan pedoman buat manusia secara umumnya dan buat mukminin khususnya.  Banyak fadhilatnya jika dapat mengamalkan dan menghayati Al-Quraan walaupun tidak memahami maksudnya;

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan.  Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.  Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.  Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya" 
Surah Al-Alaq, Ayat 1-5

Dari Ibnu Mas'ud r.s berkata sabda Rasulullah S.A.W
"Sesiapa membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan sepuluh kali ganda.  Aku tidak mengatakan alif lam min itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan min satu huruf."
Hadis Riwayat At-Tarmidzi.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah S.W.A yang bermaksud
"Pada hari kiamat nanti, di hadapan Allah S.W.T tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quraan, bukan Nabi, bukan Malaikat dan sebagainya"

Melalui hadis di atas, dapatlah kita mengtahui bahawa Al-Quraan adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah S.W.T. 


 Subhanallah Allahu Akbar.  Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya.  Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.  Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang kacak itu supaya mere dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.  Tetapi orang kacak itu akan berkata :
"Dia adalah kawanku.  Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun.  Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya seingga aku membawanya masuk ke syurga". 
Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:
"Akulah Al-Quraan yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.  Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi". 
Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat syurga.

Subhanallah, Allahu Akbar.  Alangkah indahnya dan bahagia sekiranya orang itu adalah kita.  Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quraan tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu, kita adalah orang-orang yang rugi.

Allah, Allah Ya Allah.  Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah.  Bila ia telah dating kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat.  Dan apabila berada di alam kubur, siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia.

Allah S.W.T telah menjanjikan Al-Quraan sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah S.W.T itu adalah benar.  Dekatilah Al-Quraan dan jadikanlah ia sebagai teman di dunia dan pemberi syafaat di Akhirat.

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Tuesday, 5 November 2013

Kek African Marble


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Setiap ketentuan hanyalah dari-Mu Ya Allah.  Tanpa keizinan-Mu semua ini tidak akan menjadi kenyataan. 

Puan Norhayati Basri, (http://yatiecooking.blogspot.com).  Pertemuan kami sewaktu Kursus Kesetiausahaan selama 3 hari 2 malam di Berjaya Tioman Beach Resort pada tahun 2008. 

Allah, Allah Ya Allah.  Beliau seorang surirumah yang berkerjaya sama seperti saya.  Berparas rupa yang sangat manis dan menawan, orangnya sangat peramah dan tidak lokek untuk berkongsi resepi dan juga petua masakan.  Dari beliau saya mengetahui blognya dan dari situ saya mempelajari resepi kek kegemaran mak.

Subhanallah resepi yang sangat ringkas dan memang senang untuk dibuat.  Hasilnya sungguh enak dan amat lembut.  Menjadi kegemaran seisi keluarga terutamanya sebaik sahaja keluar dari oven yang masih panas bertambah dengan aromanya.

Juga mengambil tempahan seandainya ada permintaan dari kawan-kawan.


Kek African Marble


Bahan-bahan:

250gm tepung naik sendiri

200gm gula
1 tsp baking powder
300gm telur (timbang tanpa kulit)
1 tbsp ovalette
50gm air
2 tbsp susu pekat
175gm butter (cairkan)
Cara membuat:
  1. Masukkan semua bahan kecuali butter yang telah dicairkan.
  2. Pukul semua bahan sehingga gebu atau naik 2 kali ganda
  3. Masukkan butter cair, gaul perlahan dan warnakan mengikut citarasa

Awal Muharram

Salam Maal Hijrah 1435.  Semoga ianya menjadi lembaran baru buat kita semua agar menjadi insan yang lebih baik dan menjadi titik permulaan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Razzaq, Ya Karim.

Kami ingin memohon dari-Mu Ya Allah.  Semoga tahun baru ini lebih bermakna lagi bagi kami semua Ya Allah... Lebih bahagia, lebih gembira, lebih Berjaya, lebih diberkati dan lebih tenang hidup kami sekeluarga Insya'allah.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar

Hari yang sangat indah dan penuh bermakna buat seluruh umat Islam.  Semoga permulaan yang baik akan terus menjadi yang terbaik di dunia dan di akhirat, Insya'allah. 

Tekatkan azam untuk berhijrah menjadi mukmin yang cemarlang.  Tinggalkan apa-apa yang tidak langsung memberi sebarang faedah kepada diri sendiri dan juga masyarakat.    Semoga di tahun baru ini lebih baik dari tahun yang lepas-lepas.  Moga bertambahnya tahun, maka akan bertambah juga pahala.  Berusahalah untuk menjadi insan yang baik, kerana Allah S.W.T suka akan kebaikan.  Bersama kita menuju ke Syurga-Nya. 

Lakukan semua perkara dengan penuh istiqomah dan dengan niat kerana Allah S.W.T.  Pasti ganjaranya sangat hebat menanti anda.

Allah, Allah Ya Allah.  Berikanlah kami kasih saying-Mu Ya Allah.

Sunday, 3 November 2013

Percutian


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, saya sujud kepada-Nya Ya Allah kerana dengan izin dan kasih sayang-Mu, bersempena cuti Deepavali bersambung dengan cuti Awal Muharram yang panjang saya dapat meluangkan masa sambil merehatkan minda bersama keluar tersayang.

Anak-anaklah yang paling gembira bila sesi percutian sebegini.  Mereka akan menghabiskan masa samada di kolam renang, gym, "indoor activity" atau paling tidak pun duduk depan tv tanpa ganguan dari sesiapa.







Mereka sangat gembira kerana berada di apartment 3 bilik seumpama berada di rumah sendiri.  Tambahan pula keadaan dapur apartment juga memudahkan anak-anak untuk menyediakan keperluan mereka tanpa meminta bantuan dari saya.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Sepanjang percutian ini, saya juga turut gembira kerana dapat merehatkan badan dan minda.  Manakan tidak sepanjang percutian, saya tidak perlu fikir nak masak dan apartment pula ada yang datang mengemas.  Cuma kain baju sahaja yang perlu diuruskan sendiri, itu pun telah disiapkan dengan "dryer" selepas dicuci.






Allah, Allah Ya Allah.  Alhamdulillah, sekali lagi sujud kepada-Nya di atas jodoh yang telah diberikan. Terima kasih tidak terhingga buat suami yang sangat memahami akan kehendak si isteri serta anak-anak walaupun hanya disekitar Johor sahaja.  Yang penting percutian bersama keluarga dan cuti dari segalanya.


Friday, 1 November 2013

Anak Sulung


Setelah setahun usia perkahwinan kami, Alhamdulillah anak pertama kami dilahirkan.  Takdir Allah S.W.T anak sulung kami dilahirkan seminggu awal dari tarikh yang telah dijangkakan.   Kami namakan cahaya mata kami Ikbal Hakeem yang bermaksud anugerah yang bijaksana.

Samasa dalam tempoh berpantang, ibu mertua yang menjaga saya dengan penuh kasih sayang.  Setiap pagi saya telah disiapkan dengan air mandian.  Kemudian ibu menyiapkan sarapan pagi.  Manakala bapa mertua pula ditugaskan untuk memanggil mak bidan untuk mengurut seluruh badan.  Akhir sekali adalah proses yang menyeksakan pergerakan saya iaitu bengkung yang membelit pinggang.  Alhamdulillah tempoh berpantang 44 hari dilalui dengan sabar demi kesihatan saya di masa akan datang.

Allah, Allah Ya Allah.  Ia suatu perasaan kurniaan dari Allah S.W.T yang sukar digambarkan.   Setiap suatu peningkatan yang diketahui oleh anak kecil itu rasanya ingin kami khabarkan kepada semua orang.  Barulah saya faham kenapa kakak-kakak yang telah berumahtangga di pejabat, sering bercerita tentang perkembangan anak-anak mereka.

Bila saya berkerja, Hakeem akan dijaga oleh Cik Hawa, iaitu mak saudara suami.  Beliau telah menjaga permata hati kami dengan penuh kasih sayang tanpa berbelah bagi.  Suatu perasaan kegembiraan yang sukar untuk kami gambarkan.

Benar!  Anak adalah penyambung, penyeri dan mengeratkan lagi tali kemesraan.  Dengan anak kecil itu, kami akan berbual-bual dan bercakap, seolah-olah dialah yang akan membalas setiap percakapan kami, walaupun hakikatnya anak kecil itu tidak faham apa-apa.


Dua orang hero yang sungguh bermakna dalam hidup saya