Wednesday, 6 November 2013

Al-Quraan


Al-Quraan adalah kalam Allah.  Padanya terkandung suruhan, larangan, iktibar dan pedoman buat manusia secara umumnya dan buat mukminin khususnya.  Banyak fadhilatnya jika dapat mengamalkan dan menghayati Al-Quraan walaupun tidak memahami maksudnya;

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan.  Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.  Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.  Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya" 
Surah Al-Alaq, Ayat 1-5

Dari Ibnu Mas'ud r.s berkata sabda Rasulullah S.A.W
"Sesiapa membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan sepuluh kali ganda.  Aku tidak mengatakan alif lam min itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan min satu huruf."
Hadis Riwayat At-Tarmidzi.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah S.W.A yang bermaksud
"Pada hari kiamat nanti, di hadapan Allah S.W.T tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quraan, bukan Nabi, bukan Malaikat dan sebagainya"

Melalui hadis di atas, dapatlah kita mengtahui bahawa Al-Quraan adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah S.W.T. 


 Subhanallah Allahu Akbar.  Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya.  Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.  Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang kacak itu supaya mere dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.  Tetapi orang kacak itu akan berkata :
"Dia adalah kawanku.  Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun.  Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya seingga aku membawanya masuk ke syurga". 
Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:
"Akulah Al-Quraan yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.  Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi". 
Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat syurga.

Subhanallah, Allahu Akbar.  Alangkah indahnya dan bahagia sekiranya orang itu adalah kita.  Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quraan tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu, kita adalah orang-orang yang rugi.

Allah, Allah Ya Allah.  Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah.  Bila ia telah dating kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat.  Dan apabila berada di alam kubur, siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia.

Allah S.W.T telah menjanjikan Al-Quraan sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah S.W.T itu adalah benar.  Dekatilah Al-Quraan dan jadikanlah ia sebagai teman di dunia dan pemberi syafaat di Akhirat.

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

No comments:

Post a Comment